Friday, May 14

SIAPA GURU ?

SIAPA GURU ?

Guru?
“ Jadi guru? Taknak lah. Baik saya jadi Doktor, peguam , jurutera atau bisnesman. Kerja-kerja itu lagi untung. Duit pun banyak. Jadi guru susah nak kaya tapi boleh hidup sederhana saja ”. Mungkin itulah kata-kata atau seumpamanya yang pernah kita dengar . Guru memang tidak kaya dengan harta tapi mereka kaya dengan pelajar. Kaya dengan ganjaran pahala. Kaya dengan nasihat. Kaya dengan kasih sayang. Kaya dengan pengorbanan. Kaya dengan jasa. Kaya dengan usaha. Kaya dengan duka dan lara. Kaya dengan pelajar yang kaya. Apa yang guru mahu? Apa saja dilakukannya asalkan pelajarnya menjadi seorang insan. Insan yang dimaksudkan di sini adalah insan yang kamil atau sempurna dari segala aspek.

Rasul adalah Guru

“ Tidak aku utuskan engkau wahai Muhammad kecuali engkau menjadi rahmat sekalian alam “. Rahmat bermaksud kasih sayang . Seandainya sifat ini ada di dalam hati para guru, pastinya mereka sanggup melakukan apa saja demi mendidik anak didiknya. Bagaimana perasan ini perlu dipupuk? Tiada lagi cara lain kecuali dengan meniru akhlak dan peribadi Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara. Langkah yang pertama untuk meniru Baginda صلى الله عليه وسلم i ialah dengan mengenali apa saja tentang diri Baginda صلى الله عليه وسلم samada melalui belajar, mendengar, membaca dan apa saja cara bagi mengenali identiti dan syaksiah Baginda kerana Baginda صلى الله عليه وسلم adalah guru yang paling cemerlang . Sebahagian ulama’ ada mengomentasi tentang Baginda dengan kata mereka : ”Kalaulah Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak mempunyai mukjizat lain kecuali ( hanya mengubah sikap) sahabatnya nescaya mereka sudah cukup menjadi bukti bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم adalah seorang Nabi.” Cuba kita lihat bagaimana keadaan mereka sebelum mendapat didikan Nabi صلى الله عليه وسلم . Siapakah lagi guru yang mampu mendidik dan melahirkan sebilangan besar pelajarnya ketika beliau hidup dan mati tanpa sempadan masa dan zaman ? Pada hari ini kita masih mendapat didikan Baginda صلى الله عليه وسلم walaupun Baginda صلى الله عليه وسلم telah wafat. Ilmu Baginda صلى الله عليه وسلم tetap dituntut tanpa putus-putus.



Ta'lim dan Ta'dib

Seorang guru yang baik adalah seorang yang mendidik muridnya dengan ahwalnya ( yakni akhlak peribadinya yang ditunjukkan berdasarkan ilmunya ). Seorang guru yang beramal dengan ilmunya mampu mengubah sikap seribu orang pelajarnya melalui satu patah perkataannya. Manakala seorang guru yang tidak mengamalkan ilmunya hanya mampu mengubah seorang pelajar sahaja dengan seribu patah perkataannya. Guru yang pertama dan terbaik di dunia adalah Baginda صلى الله عليه وسلم kita sendiri. Baginda صلى الله عليه وسلم tidak pernah membenci pelajarnya, memukulnya dan mengejinya. Baginda صلى الله عليه وسلم tidak pernah bertanya kepada pelajarnya mengapa engkau buat begini? Mengapa engkau tinggalkan begini? Ini menunjukkan bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم mendidik sahabatnya dengan ahwalnya dan ditambahkan dengan didikan melului lirikan mata Baginda صلى الله عليه وسلم yang mulia.

Guru
Sebagai seorang guru, mata sangat memainkan peranan besar bagi mendidik pelajar. Ulama.-ulama’ Tasawuf sering menggunakan cara didikan ini terhadap muridnya. Seandainya pelajarnya melanggar undang-undang agama , maka mata mereka akan melirik dan membayangkan kepada pelajar tadi betapa bersalahnya perbuatannya. Selain itu, gerak geri seorang guru menjadi teladan dan bimbingan kepada pelajar kerana pelajar yang mencintai gurunya akan melihat setiap pergerakkan gurunya. Guru menjadi idola pelajar.

Keikhlasan

Keikhlasan seorang guru di dalam mendidik sangat penting kerana keikhlasan datangnya dari hati dan menyebabkan didikan itu juga mudah diserap ke dalam hati pelajar. Inilah dinamakan dari hati ke hati. Seandainya nasihat seorang dari tekaknya saja, maka nasihat itu tidak mampu menembusi hati pelajar. Perkara ini akan terhasil apabila seorang guru itu mempunyai kebersihan dan kesihatan hati yang baik. Bagi seorang guru, pembersihan hati adalah perkara wajib agar tidak melarat kepada pembentukan sikapnya yang negatif. Kesanggupan mereka menanggung kesusahan dan kesukaran mendidik pelajar akan dijanjikan pahala daripada Allah. Kenapa tidak? Saidatina ’Aishah pernah berkata bahawa pahala itu dikurniakan kepada seseorang berdasarkan setiap kadar kesusahan yang menimpanya. Cubalah kita melihat Baginda صلى الله عليه وسلم kita sendiri bagaimana Baginda صلى الله عليه وسلم bersabar dengan kesukaran mendidik penduduk Arab Mekah yang terkenal dengan sifat kasar, ta’assub dan dalam kejahilan kerana sebelum itu belum muncul seorang guru pun. Menanggung kesusahan juga memberi makna memudahkan urusan pelajar . Baginda صلى الله عليه وسلم tidak pernah menyusahkan pelajarnya bahkan sentiasa memudahkan apa saja urusan pelajar . Pernah Baginda صلى الله عليه وسلم menyuruh pelajarnya mengambil apa saja keperluannya dari seorang Yahudi dengan Baginda صلى الله عليه وسلم meninggalkan pakaian perangnya sebagai taruhan. Baginda صلى الله عليه وسلم sanggup menyusahkan dirinya untuk pelajarnya . Seorang guru perlu merasakan kemuliaan dirinya disebabkan daripada kemuliaan pelajarnya. Seandainya tiada pelajar belajar dengannya , maka bagaimana dia mendapat gelaran sebagai guru.

Selamat Hari Guru

Akhirnya , sambutan Hari Guru yang sebenar adalah dengan menyambut guru kita yang pertama iaitu Saidina Muhammad صلى الله عليه وسلم . Kita hidup hari ini berpandukan ilmu dan ilmu yang Baginda صلى الله عليه وسلم salurkan melalui sahabat, tabi’en , tabi’ tabi’en sehingga sampai kepada kita. Sebagai tanda terima kasih kepada Baginda صلى الله عليه وسلم , marilah kita memperbanyakkan solawat kepadanya setiap masa, keadaan , susah, senang, sedih , gembira dan segala keadaan. Mudah-mudahan kita tergolong daripada orang yang berterima kasih kepada Allah dan RasulNYa. Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada Baginda صلى الله عليه وسلم, maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.

(dipetik daripada http://al-judiah.blogspot.com/)

Selamat Hari Guru

Sabarlah, Cikgu
www.iLuvislam.com
Mohd Zul Roslan a.k.a. Anak_Pejuang*


Di Waktu Pagi

Pergi ke sekolah setiap pagi, menaiki bas 2 kali sebelum sampai ke sekolah. Hendak masuk menuju ke sekolah perlu berjalan kaki lagi 1 kilometer. Kadang-kadang kerjanya adalah membuka pagar sekolah (kerana ada tugasan yang diberi sebegitu - maklumlah sekolah pun di kawasan pedalaman). Sabarlah cikgu...


Semasa Sesi Pengajaran


Sebelum memulakan pengajaran, cikgu membaca doa bersama anak murid. Diminta agar diterangkan hati, dimudahkan faham apa yang diajar dan dipelajari. Cikgu meminta anak murid agar mengutip sampah, mengemaskan kerusi dan meja agar dapat belajar dengan selesa. Begitulah setiap hari mulutnya tidak pernah diam menasihati agar sampah yang dijumpai bersepah di luar bilik darjah dan sekolah agar dibuang di dalam tong sampah. Sabarlah cikgu...

Cikgu menanda kedatangan pelajar di Buku Daftar Kehadiran Murid, ada beberapa nama yang sudah acapkali tidak hadir. Cikgu bukan tidak peduli tentang itu semua, lalu ditanya rakannya sekelas. Dijawab mereka "Si polan tu pergi CC (Cyber Cafe), swimming pool, kadang-kadang tak naik kelas dia duduk kat pondok perhentian bas". Cikgu pun menyusul ke perhentian bas sambil memujuk anak murid agar naik ke kelas. Sabarlah cikgu...

Cikgu mengajar di hadapan, anak murid bermain-main di belakang. Ada yang tidur, ada yang berbual-bual. Bila ditanya "Mana kerja rumah?". Dijawab pula "Lupa cikgu" (padahal di rumah begnya tidak pernah diperiksa dijadikan pekasam sahaja). Ibu dan ayah pula terlalu sibuk bekerja. Samada anak ke sekolah atau tidak, itu belakang kira. Yang penting sudah nampak pergi ke sekolah. Cikgu pun meneruskan pengajarannya, diberikan penjelasan dan diulang-ulang lagi apa yang telah diajar agar dapat melekat terus di hati anak muridnya. Cikgu pun bertanya, "Faham tak? Kalau tak faham silalah bertanya, nanti cikgu ulang lagi". Anak murid pun menjawab "Faham cikgu". Tidak lama kemudian cikgu pun menyoal dari apa yang telah dipelajari, kerana beranggapan anak muridnya sudah faham apa yang diajar. Kemudian ramailah anak murid yang berdiri dan menjadi 'patung' kerana tidak dapat menjawab soalan cikgu. Hanya beberapa kerat yang membuka mulut untuk menjawab soalan. Sabarlah cikgu...

Lalu cikgu pun ingin membuat ulangkaji dengan anak muridnya lagi. Semalam cikgu dah beritahu supaya menelaah apa yang telah diajar. Hari ini cikgu ingin menyoal pula. Tetapi tidak ramai yang ingin menjawab. Bila ditanya mengapa tidak dapat menjawab soalan. Mereka menjawab "Tak tahu", "Lupa", "Jaga adik". Sabarlah cikgu..

Bukan cikgu tidak tahu, ada anak murid nakal dan pernah didenda kerana kenakalannya yang diulang berkali-kali. Cikgu bukan denda kerana suka mendenda. Tetapi kerana kasih dan sayangnya kepada anak murid. Itupun dimulakan dengan nasihat untuk dia memikirkan kembali baik dan buruknya perbuatan yang telah dilakukan dan masa hadapannya. Diberikan teguran agar membekas dalam hati. Dan dihukum sesuai dengan kesalahannya. Dan ada juga cikgu menegur kesalahan anak murid agar tidak membuat bising di dalam kelas. Semasa hendak membuka pintu kereta, kereta cikgu telah dicalar balarkan, tayar dipancitkan. Kengkadang cikgu pun ditunggu diluar untuk dipukul. Sabarlah cikgu...






Sesudah Habis Mengajar

Sebelah petangnya, apabila anak murid sudah pulang ke rumah. Cikgu masih lagi di sekolah, terkadang ada kelas tambahan untuk anak muridnya. Terkadang ada kerja untuk menyiapkan alat bantu mengajar supaya anak murid mudah faham. Terkadang tertidur sebentar kerana kelelahan.

Di rumah, kerja cikgu belum selesai lagi. Perlu menyiapkan buku persediaan mengajar, perlu memikirkan pula aktiviti tahunan yang telah diagihkan untuk disempurnakan. Kertas kerjanya, soalan bulanannya, persatuan yang dinaunginya. Cikgu pun ada suami, ada isteri, ada anak-anak untuk dibesarkan, dididik, diberi makan, dikenalkan dengan kehidupan. Setiap kali melihat buku anak murid, akan terbayang wajah mereka satu persatu. Ya, cikgu pun mendoakan juga agar anak muridnya berjaya dan menjadi orang yang berguna. Sabarlah cikgu...

Cikgu pun tidak kisah.. semasa di luar sekolah, ketika bersiar-siar. Bukan tidak pernah terserempak dengan anak muridnya. Ada yang menyapa memberi salam dan senyuman - AlhamduliLlah baguslah, ada juga yang sembunyi-sembunyi (mungkin segan kerana berpakaian menjolok mata atau telah melakukan sesuatu yang ia rasa tidak kena), ada juga yang berlalu seolah-olah cikgu tidak wujud di depan matanya (mungkin tidak nampak gamaknya). Cikgu pun tidaklah terasa sangat sebenarnya... Sabarlah cikgu...


Cikgu pun pernah mengajar anak muridnya agar tahu mengucapkan terima kasih. Apabila cikgu hendak memberikan buku kepada anak murid, ia tidak melepaskan buku tersebut kecuali setelah anak murid mengucapkan "terima kasih cikgu".

Sekadar berkongsi antara kehidupan cikgu yang tidak didedahkan, cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Agar tahu perasaan dan susah payahnya di dalam mendidik anak bangsa